Image Hosted by ImageShack.us


.

feedburner

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Enjoy Rekreasi 4WD


Kita sambung cerita tentang kawan tokoh korporat yang ikut serta rekreasi 4WD.

Pagi esoknya apabila aku bangun dari tidur, tengok-tengok dia sudah berendam dalam sungai yang cetek dengan airnya tenang. Riangnya dia berendam dalam sungai tu, mengalahkan kanak-kanak. Katanya, dia tidak pernah merasai suasana sebegitu dalam hidupnya. Kena dengan air sungai yang sejuk itu, dia lupa segala masalah di pejabatnya.

Selepas dua malam di dalam hutan, kami keluar melalui pekan Sungai Siput sebelum balik ke Kuala Lumpur.

Kesimpulannya sepanjang perjalanan itu, kami hanya merentasi laluan off-road yang sederhana sahaja. Kebetulan pula tidak hujan, jadi perjalanan kami langsung tidak ada apa-apa gangguan. Cukup senang dan selesa.

Tiada jambatan pecah yang perlu dilintasi. Tidak ada bukit tinggi yang perlu didaki dan tidak ada sungai dalam yang perlu diseberangi.

Kawan aku itu hanya duduk dalam kenderaan 4WD bagaikan 'orang besar'. Yalah, diapun memang orang korporat. Sepanjang jalan dia riang dan ceria. Seronok benar nampaknya dia.

Balik ke Kuala Lumpur, kami putus hubungan buat seketika. Maklumlah masing-masing sibuk. Aku sibuk mencari rezeki untuk meneruskan hidup di kotaraya yang semakin mencabar. Kotaraya yang semakin ramai dihuni oleh warga asing. Dia pula sibuk menguruskan bisnesnya dalam mengumpul kekayaan duniawi.

Bagaimanapun, dalam diam-diam dia beli sebuah kenderaan 4WD dan mengubahsuai sepenuhnya (modification full spec). Dan mulai saat itu dia sudah menyertai ekspedisi lasak 4WD dan tidak menggunakan drebar. Dia pandu sendiri.

Nanti kita sambung lagi...



Giang Pandu 4WD


Baru-baru seorang kawan memberitahu yang dia ikut ekspedisi lasak 4WD. Aku pandang dia atas bawah. Susah nak percaya kalau tokoh korporat boleh sertai acara lasak 4WD. Aku senyum sinis pada dia.

Sememangnya susah nak percaya cakap dia. Apatah lagi bila memandu sendiri jip dalam hutan. Setahu aku, dia tak ada kenderaan 4WD. Kereta mewah memang berderet tersusun di halaman rumahnya. Itupun pakai drebar.

Bukannya dia tak ada lesen nak pandu kereta, tapi katanya dia malas dan rimas pandu kereta dalam bandar dengan traffic jam. Tapi dia memang gemar menunggang motosikal besar yang banyak digunakan oleh penunggang America yang ramai berperut buncit.

Mati-matian dia cuba yakinkan aku yang dia memang benar-benar pandu 4WD di laluan mencabar dalam hutan. Dia ajak aku ikut ke rumahnya. Nak tak nak ikutlah aku.

Dalam perjalanan, katanya dia berterima kasih pada aku kerana mengajar dan membuatkan dia pandai pandu 4WD dalam hutan.

Sebenarnya bukan aku mengajar dia. Aku hanya sekadar mengajak dia ikut serta dalam satu ekspedisi yang kebetulan aku keseorangan masa itu. Pada mulanya dia memang liat nak ikut. Tapi setelah aku desak, dia mengalah. Lagipun dia terasa tamparannya apabila dicabar oleh isterinya. Nak tak nak, dia ikut aku.

Perjalanan kami pada hari itu menuju ke Gua Musang melalui pekan Bentong dan Kuala Lipis. Setelah mengisi minyak dan membeli barang-barang makan di pekan Gua Musang, kami meneruskan perjalanan melalui jalan balak ke Cameron Highlands.

Malam itu, kami berkhemah di sebatang anak sungai berhampiran sebuah kongsi balak yang sudah ditinggalkan. Kawan aku tadi nampak seronok benar dia...

Kita sambung lagi cerita ini....



Konvoi 4WD


Ekspedisi 4WD menjelajah hutan rimba akan membawa kita ke satu dunia lain. Dunia yang tenang, tapi perlukan banyak bersabar.

Di situ kita harus terima hakikatnya bahawa kita hanya mampu bergerak sejauh beberapa depa sahaja dalam masa satu jam, tetapi yang pentingnya kita selamat sampai ke destinasi yang kita tujui.

Dalam menyerati ekspedisi 4WD yang dianjurkan oleh kelab 4WD, biasanya penganjur akan melantik beberapa pegawai bagi menyelaraskan kelancaran perjalanan ekspedisi yang disertai oleh berpuluh-puluh buah kenderaan 4WD dan bilangan peserta yang mencapai ratusan orang.

Antara pegawai atau marshal itu, seorang ketua ekspedisi dan seorang sweeper akan dilantik. Tugas ketua ekspedisi ialah mendahului konvoi yang membawa para peserta melalui laluan yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

Sweeper pula akan mengekori di belakang konvoi untuk memastikan tidak ada yang ketinggalan atau tersesat jalan atau sekiranya kenderaan mereka mengalami kerosakkan.

Sebaik sahaja dilepaskan atau dilakukan flag off semua kenderaan peserta akan bergerak dalam konvoi di sepanjang perjalanan ekspedisi itu.

Konvoi itu pula terbahagi kepada dua jenis iaitu 'konvoi terbuka' (open convoy) dan 'konvoi tertutup' (close convoy).

Dalam situasi tertentu sahaja ketika di dalam hutan kita terpaksa bergerak dalam very close convoy atau konvoi berangkai.

Konvoi terbuka biasanya diamalkan ketika di jalan raya utama. Di situ peserta bebas memandu mengikut citarasa mereka, tetapi mereka mesti tiba di destinasi yang ditetapkan dalam jangka masa dihadkan. Tidak boleh lewat daripada itu.

Bagaimanapun, peserta dilarang daripada memotong kenderaan utama yang dipandu oleh ketua ekspedisi, melainkan diarah berbuat demikian kerana ketua ekspedisi terpaksa memantau kenderaan di belakang atau memeriksa kenderaan yang mengalami kerosakkan atau terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Di situ anda boleh berhenti sama bagi membantu peserta jika kenderaan mereka mengalami kerosakkan atau sebagainya. Jika anda tidak mampu menghulurkan bantuan, adalah lebih baik anda teruskan perjalanan agar konvoi tidak menghadapi gangguan di dalam perjalanan itu.

Sementara konvoi tertutup pula diadiamalkan pada laluan off-road dalam hutan di mana setiap kenderaan 4WD dapat di lihat antara satu sama lain. Biasanya setiap pemandu sudah dimaklumkan ke mana tuju arah konvoi dan tidak ada kenderaan yang sepatutnya tersesat dalam perjalanan itu.

Bagaimanapun, apabila tiba di setiap persimpangan, anda dinasihatkan menunggu kenderaan yang di belakang anda sebelum meneruskan perjalanan sama ada anda akan mengambil simpang ke kiri atau ke kanan.

Jika kenderaan di belakang sudah sampai, bolehlah anda teruskan perjalanan dan kenderaan tadi pula akan mengganti tempat anda tadi untuk menunggu ketibaan kenderaan di belakang.

Sistem konvoi secara ini akan memastikan tidak ada kenderaan yang akan tersesat. Jadi anda tidak perlu bimbang. Ia kerana kenderaan yang di hadapan juga terpaksa menunggu anda di simpang sebelum mereka memasuki simpang dan begitulsh amalan seterusnya hingga kesemua peserta selamat tiba di camp site.

Ketika berada di dalam konvoi anda dinasihat mengekalkan posisi. Memandu dengan sabar dan jangan memintas kenderaan di hadapan sesuka hati.

Jika anda berada pada bahagian hadapan konvoi pada hari pertama, anda boleh menukar posisi ke belakang pada hari berikutnya.

Perjalanan off-road dalam hutan sememangnya mencabar. Ada kalanya kita tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku.

Terutama sekali ketika kita mendaki dan menuruni bukit tegap dan licin. Maka ada baiknya kita jangan mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat. Biarkan dia melepasi laluan itu dahulu dan barulah kita pula meneruskan perjalanan kita pula.

Apa yang akan terjadi sekiranya kita mengekori di belakang kenderaan dalam jarak yang terlalu rapat ketika dia sedang mendaki bukit dan tiba-tiba dia gagal melepasinya?

Ini sudah tentu kita yang akan menjadi mangsanya. Oleh itu cuba hindari daripada mengekori terlalu rapat dalam situasi sedemikian.

Begitu juga ketika konvoi berhenti di laluan off-road yang sempit dan pemukaan jalan yang tidak menentu, jangan berhenti terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan itu. Berikan sedikit ruang di mana andainya terjadi sebarang kecemasan, anda masih boleh mengalih kenderaan anda daripada barisan konvoi itu.



Rekreasi 4WD - Bahagian Akhir

Dalam menyertai rekreasi 4WD, menjaga warisan alam adalah penting. Kita tidak digalakkan menebang pokok sesuka hati. Jika perlu menggunakan kayu, carilah pokok yang sudah tumbang.

Semua ini adalah tugas dan tanggungjawab kita dalam menjaga hutan hujan kita agar kekal untuk generasi yang akan datang.

Begitu juga apabila kita menggunakan sungai, janganlah dijadikan sebagai tempat membuang najis. Kita perlu ingat bahawa di hilir sungai mungkin ada perkampungan Orang Asli yang mana sungai ini sahajalah yang menjadi sumber bekalan air mereka.

Mengembara di hutan rimba ini juga tidak kurang dengan pantang larangnya. Sebagai pelawat kita haruslah menghormati undang-undang setempat.

Jangan sekali-kali bersikap sombong, angkuh dan celupar mulut. Sebaik-baik petua yang sentiasa kita amalkan ketika berada di hutan rimba ialah, You See Nothing, You Hear Nothing dan You Say Nothing. Selain itu, sentiasa amalkan dengan selawat dan membaca Fatihah, insya-Allah, anda akan terselamat daripada apa-apa gangguan.

Dalam menyertai rekreasi 4WD ini keselamatan tidak harus dipertikaikan. Keselamatan bukan sahaja pada diri kita sendiri, bahkan juga kepada kenderaan dan rakan-rakan lain.

Oleh itu perlulah diingat bahawa rekreasi 4WD ini bukannya satu perlumbaan. Kendalikan kenderaan 4WD dengan sabar dan tingkatkan kemahiran diri di dalam menghadapi sesuatu halangan atau cabaran. Tackle an obstacle at a time.

Peserta baru biasanya kurang yakin pada diri sendiri di awal penglibatan mereka. Setelah mengalaminya barulah mereka akan mula merasa yakin.

Tetapi apabila mereka sudah mula konfiden, mereka akan menjadi berani dan mula mencuba tanpa berfikir panjang dan ini akan membawa bahaya kepada diri sendiri.

Sekiranya anda menghadapi kesukaran, jangan melulu mengambil tindakan sehingga boleh menjahanamkan kenderaan dan diri sendiri.

Tunggu dan minta nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman. Lakukan secara berpasukan atau teamwork. Itulah moto adventure rekreasi 4WD di dalam merentasi dan mengharungi setiap cabaran.



Rekreasi 4WD - Part 4

Dalam ekspedisi 4WD semangat kerjasama adalah amat penting. Meskipun kenderaan kita sudah berjaya melepasi sesuatu halangan itu, namun, kita terpaksa membantu kenderaan di belakang yang masih belum dapat melepasinya.

Ini membuatkan kita tiba di camp site melewati tengah malam dalam keadaan badan yang berlumpur, lapar dan letih lesu. Namun atas semangat adventure, kita akan rasa bangga dengan pengalaman yang berjaya kita tempuhi itu. Meskipun adakalanya kita hanya dapat makan secara ala-kadar dan mandi pun style 'P.Ramlee', hati kita puas. Kalau kita dapat tapak camp site di tepi sungai, bolehlah kita mandi sepuasnya. Kalau tidak, jawabnya terpaksalah tidur dengan badan yang bukan saja hapak, tapi penuh dengan lumpur.

Satu lagi yang perlu diingatkan bahawa dalam kita menyertai ekspedisi 4WD ini bukannya untuk pergi berburu binatang liar yang semakin pupus di bumi kita ini. Jadi kepada sesiapa yang berhajat untuk membawa bersama senjata api, baik dilupakan sahaja hasrat itu. Pihak penganjur bukan sahaja tidak menggalakkannya, bahkan anda tidak benar membawa bersama semua itu.

Larangan keras ini bukan sahaja tertakluk kepada membawa senjata api, bahkan mercun dan bunga api sekalipun anda tidak benar membawanya. Ini juga untuk kebaikan kita kerana pastinya kita tidak mahu melihat kawan sendiri ditimpa kemalangan atau tercedera kerana letupan bahan yang berbahaya itu.

Seperkara yang perlu kita ingatkan, kebersihan di camp site dengan tidak membuang sampah dan sisa-sisa makanan adalah amat penting. Biasanya seorang camp commandant akan ditugaskan bagi memastikan peserta patuh pada semua arahan.

Walaupun dengan menggali lubang sekalipun, binatang-binatang di hutan masih boleh mengorek untuk mendapatkan sisa makanan. Seandainya terdapat tin-tin kosong dan plastik, ini tentunya akan mencederakan binatang-binatang yang semakin pupus di bumi kita ini. Siapa yang rugi? Generasi kita juga yang akan rugi...

Peserta dinasihatkan mengisikan sampah-sampah dan sisa makanan ke dalam karung plastik dan selepas itu akan dibuang di tempat buangan sampah apabila kita tiba di pekan yang terdekat.

Tabiat membuang kotak rokok, tin minuman, botol air mineral dan walaupun puntung rokok sekalipun ketika kita sedang berada dalam kenderaan yang bergerak di dalam hutan masih banyak dilakukan oleh peserta baru terutamanya. Perlu diingat, amalan ini harus dikikiskan sekiranya kita mahu kekalkan alam kita.

Kita sambung lagi....