Rekreasi 4WD - Part 3
Rekreasi 4WD ini adalah satu acara yang mencabar. Ia bukan sahaja mencabar ketahanan diri kita, bahkan minda kita juga perlu kuat...dan apa-apa pun, kena banyak bersabar.
Bagi mereka yang pertama kali menjinakkan diri dalam acara ini, saya nasihatkan ikut mereka yang berpengalaman. Lebih baik lagi kalau turut serta dalam acara yang dianjurkan oleh kelab-kelab 4WD yang bertauliah dengan pakar-pakar yang berpengalaman.
Ini kerana penglibatan dalam acara sebegini melalui kelab-kelab 4WD, laluan-laluannya sudah disusun rapi. Paling penting anda akan diberi taklimat dan nasihat teknikal di dalam pengendalian kenderaan 4WD.
Selain dari itu, mereka sedia membantu anda sekiranya kenderaan anda menghadapi apa-apa masalah di dalam perjalanan nanti. Tetapi sekiranya melibatkan apa-apa alat-ganti, itu kenalah kita tanggung sendiri. Pihak penganjur hanya menyediakan bantuan teknikal dan tenaga sahaja.
Dalam menyertai ekspedisi 4WD yang dianjurkan oleh kelab-kelab 4WD ini, anda berpeluang bergaul, berkongsi pengalaman dan bertukar fikiran dengan lain-lain pemilik 4WD.
Biasanya pihak penganjur akan menyediakan lakaran peta perjalanan atau tulip dan setiap peserta akan diberi satu salinan. Ini akan memudahkan anda sekiranya tersesat di dalam hutan. Dalam merentasi laluan-laluan yang paling sukar sekalipun, biasanya semua kenderaan 4WD berjaya melepasinya kerana setiap peserta akan diberi tunjuk-ajar untuk mengendali kenderaan 4WD dengan selamat. Semua ini akan menjadi cabaran dan pengalamana baru kepada setiap peserta.
Tetapi dalam mengharungi pengembaraan sebegini, keselesaan tidur di tilam yang empuk dengan bilik berhawa dingin hendaklah dilupakan. Apabila tiba di camp site, kalau kita dapat memasang khemah di kawasan rata yang lapang dan kering pun sudah satu rahmat. Asalkan jangan pula kita kena berkhemah di kawasan yang berlumpur.
Selepas berkonvoi merentasi laluan yang pelbagai bentuk muka bumi, kebiasaannya kita akan tiba di camp site sebelum hari senja. Ini akan memudahkan kita memilih tapak untuk kita pasang khemah. Tetapi harus diingat, dalam pengembaraan begini apa-apa boleh terjadi. Kadang-kadang untuk melepasi sesuatu halangan akan memakan masa yang agak lama. Sempat masak air buat 3 in 1 atau masak mee segera...
Apa tidaknya. Bayangkan kalau sebuah kenderaan mengambil masa 15 minit untuk melepasi halangan seperti meniti di atas batang balak untuk melepasi sungai, kalau dalam ekspedisi itu ada 30 buah kenderaan, 7 atau 8 jam masa dah terbuang di situ. Usahkan masak mee segera, masak nasi pun sempat.
Kita sambung lagi.....
Friday, August 22, 2008 | 1 Comments