Gapis 4WD Hampir Berkubur
Kalau ikutkan hati, saya sebenarnya sudah merajuk untuk meneruskan blog ini, memandangkan permohonan saya untuk mendapatkan adsense telah ditolak oleh pakcik google kerana bahasa pengantar blog ini.
Ketika membuat permohonan, saya ditanya apakah bahasa pengantar blog itu? Puas saya mencari bahasa Melayu, tetapi tidak ada dalam senarai mereka. Yang ada hanyalah bahasa Indonesia. Jadi saya kliklah pada bahasa Indonesia. Kira bahasa Melayu juga tu.
Selang beberapa jam saya mendapat jawapan bahawa bahasa itu tidak termasuk dalam senarai mereka. Saya dinasihatkan buka blog baru dalam bahasa Mat Salih dan buat permohonan baru.
Tetapi selepas seketika saya terasa sayang pula untuk meninggalkan blog ini kerana Gapis4WD memberi seribu satu makna buat saya.
Wujudnya blog ini berdasarkan pengalaman saya selama hampir 20 tahun dalam ekspedisi 4WD tempatan. Dengan pengalaman itu banyak yang dapat saya curahkan kepada pembaca-pembaca muda tentang aktiviti 4WD dan juga hutan rimba kita.
Gapis pula merupakan sebuah kampung di Ulu Slim, Perak di mana terletaknya dusun pulasan dan durian milik saya di tepi hutan. Untuk sampai ke situ anda perlukan sebuah kenderaan 4WD kerana laluan off-road yang berbukit bukau. Maka itulah wujud blog Gapis4WD.
Di dusun itu juga saya dalam proses membina 'Gapis Jungle Camp' untuk peminat-peminat adventure. Banyak aktiviti-aktiviti outdoor lasak yang akan diadakan dalam memenuhi permintaan kawan-kawan yang gemar acara sedemikian.
Lagipun pada musim buah memang seronok berkampung di situ. Tetapi yang tak tahannya beruk-beruk sebesar kanak-kanak berusia 5 tahun mula datang menyerang untuk menikmati buah-buah yang masak ranum.
This is where the adventure begins....
Thursday, December 25, 2008 | 0 Comments