Rekreasi 4WD - Part 4
Dalam ekspedisi 4WD semangat kerjasama adalah amat penting. Meskipun kenderaan kita sudah berjaya melepasi sesuatu halangan itu, namun, kita terpaksa membantu kenderaan di belakang yang masih belum dapat melepasinya.
Ini membuatkan kita tiba di camp site melewati tengah malam dalam keadaan badan yang berlumpur, lapar dan letih lesu. Namun atas semangat adventure, kita akan rasa bangga dengan pengalaman yang berjaya kita tempuhi itu. Meskipun adakalanya kita hanya dapat makan secara ala-kadar dan mandi pun style 'P.Ramlee', hati kita puas. Kalau kita dapat tapak camp site di tepi sungai, bolehlah kita mandi sepuasnya. Kalau tidak, jawabnya terpaksalah tidur dengan badan yang bukan saja hapak, tapi penuh dengan lumpur.
Satu lagi yang perlu diingatkan bahawa dalam kita menyertai ekspedisi 4WD ini bukannya untuk pergi berburu binatang liar yang semakin pupus di bumi kita ini. Jadi kepada sesiapa yang berhajat untuk membawa bersama senjata api, baik dilupakan sahaja hasrat itu. Pihak penganjur bukan sahaja tidak menggalakkannya, bahkan anda tidak benar membawa bersama semua itu.
Larangan keras ini bukan sahaja tertakluk kepada membawa senjata api, bahkan mercun dan bunga api sekalipun anda tidak benar membawanya. Ini juga untuk kebaikan kita kerana pastinya kita tidak mahu melihat kawan sendiri ditimpa kemalangan atau tercedera kerana letupan bahan yang berbahaya itu.
Seperkara yang perlu kita ingatkan, kebersihan di camp site dengan tidak membuang sampah dan sisa-sisa makanan adalah amat penting. Biasanya seorang camp commandant akan ditugaskan bagi memastikan peserta patuh pada semua arahan.
Walaupun dengan menggali lubang sekalipun, binatang-binatang di hutan masih boleh mengorek untuk mendapatkan sisa makanan. Seandainya terdapat tin-tin kosong dan plastik, ini tentunya akan mencederakan binatang-binatang yang semakin pupus di bumi kita ini. Siapa yang rugi? Generasi kita juga yang akan rugi...
Peserta dinasihatkan mengisikan sampah-sampah dan sisa makanan ke dalam karung plastik dan selepas itu akan dibuang di tempat buangan sampah apabila kita tiba di pekan yang terdekat.
Tabiat membuang kotak rokok, tin minuman, botol air mineral dan walaupun puntung rokok sekalipun ketika kita sedang berada dalam kenderaan yang bergerak di dalam hutan masih banyak dilakukan oleh peserta baru terutamanya. Perlu diingat, amalan ini harus dikikiskan sekiranya kita mahu kekalkan alam kita.
Kita sambung lagi....
Post a Comment